PROFIL UNIVERSITI
Sejarah Awal Penubuhan
Pada 24 Februari 1998, Menteri Pendidikan ketika itu iaitu YB Dato' Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak telah bersetuju dengan cadangan penubuhan Universiti Teknologi Malaysia Kampus Cawangan Pahang (UTM-KCP) sebagai asas bagi penubuhan Universiti Pahang. Dengan persetujuan tersebut, satu kertas Memorandum Jemaah Menteri telah disediakan dan telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada 25 Ogos 1999.
Dalam pembentangan Bajet Rancangan Malaysia Ke-8, Kerajaan Malaysia telah mengumumkan penubuhan empat buah universiti baru di Perlis, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang. UTM-KCP telah dikenal pasti untuk menerajui penubuhan universiti di Pahang. Selaras dengan ini, satu kertas Memorandum Jemaah Menteri telah disediakan dan telah mendapat kelulusan bagi penubuhan Kolej Universiti Kejuruteraan & Teknologi Malaysia (KUKTEM) pada 26 Jun 2001.
Tujuan utama KUKTEM ditubuhkan ialah untuk menambah bilangan tempat pengajian di intitusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam bidang Sains, Kejuruteraan dan Teknologi.
Berikut disertakan bilangan pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat ijazah pertama di IPTA.
Jadual I: Bilangan Pelajar di IPTA mengikut bidang.
BIDANG |
2001 |
2005 |
Sastera |
87,482 |
93,633 |
Sains |
58,029 |
69,490 |
- Sains Komputer |
17,276 |
19,160 |
Teknikal |
37, 138 |
44,790 |
- Kejuruteraan |
31,475 |
36,202 |
Hasrat Kementerian ialah untuk menambah bilangan pelajar bidang Sains dan Teknikal supaya nisbah sastera kepada Sains dan Teknikal disasarkan pada 40 : 60 dengan jumlah enrolmen pelajar ijazah pertama pada 360,000 orang menjelang tahun 2010. Ini memerlukan sebanyak 216,000 tempat bagi bidang Sains dan Teknikal berbanding yang ada iaitu sekitar 115,000 tempat.
Setelah KUKTEM beroperasi selama empat tahun, beberapa isu negatif telah timbul yang membabitkan gelaran Kolej Universiti. Untuk mengatasi perkara ini, Jawatankuasa Timbalan Rektor (Akademik & Antarabangsa) Kolej Universiti Awam telah menyediakan satu kertas Memorandum Jemaah Menteri yang bertajuk "Penukaran Nama Kolej Universiti Awam kepada Universiti Awam". Pada 20 September 2006, Jemaah Menteri telah meluluskan pertukaran nama KUKTEM kepada Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Latarbelakang
Universiti Malaysia Pahang (UMP) bermula dengan Universiti Teknologi Malaysia Kampus Cawangan Pahang (UTM-KCP) yang beroperasi di sebuah kampus yang terletak di Bandar Indera Mahkota, Kuantan sejak tahun 1999. Penubuhan Universiti ini adalah hasil daripada cetusan idea YAB Dato' Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak yang pada ketika itu memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan Malaysia.
Hasil daripada usaha gigih beliau, Jemaah Menteri pada 26 Jun 2001 telah membuat keputusan untuk menubuhkan sebuah Universiti Teknikal Awam yang berasaskan kemahiran di Negeri Pahang Darul Makmur dan dinamakan sebagai KUKTEM. KUKTEM adalah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang ke-16 yang diwartakan pada 16 Februari 2002 dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. Atas arahan Kementerian Pendidikan, kampus UTM-KCP telah diambil alih dan dijadikan kampus sementara KUKTEM pada 1 Mei 2002 dan memulakan Sesi Akademik 2002/2003 dengan mengambil seramai 307 orang pelajar pada 30 Mei 2002.
Pada peringkat permulaan, KUKTEM telah menawarkan program dalam bidang Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli dan juga Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian.
Bagi menampung jumlah pelajar yang semakin meningkat, KUKTEM telah berpindah ke kampus sementara yang lebih besar dan kondusif di Bandar MEC, Gambang pada 24 April 2003. Kampus yang terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat Bandar Kuantan ini mempunyai keluasan 65,000 meter persegi dan terletak di lokasi strategik yang berhampiran dengan Lebuh Raya Pantai Timur, zon perindustrian kimia, petrokimia, pembuatan, automotif dan juga bioteknologi bagi Negeri Pahang Darul Makmur. Pembangunan kampus tetap Universiti ini yang terletak di Mukim Kuala Pahang sedang dalam pembinaan. Kampus seluas 745 ekar itu boleh menampung sehingga 20,000 orang pelajar.
Setelah lima tahun beroperasi, pihak Kerajaan Malaysia telah mengumumkan pertukaran nama KUKTEM kepada Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkuat kuasa mulai 1 Februari 2007. Dengan pertukaran ini, nama KUKTEM kini dikenali sebagai UMP. Walaupun telah bertukar nama, bidang fokus utama universiti dan program pengajian serta enrolmen tidak berubah mengikut matlamat tujuan penubuhannya iaitu mencapai 10,000 hingga 15,000 orang pelajar. UMP turut mengekalkan bidang-bidang fokus sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia .
Tujuan utama penubuhan UMP ini ialah untuk menerajui pembangunan sumber manusia dan teknologi dalam bidang yang berkaitan dengan:
Industri Kimia dan Petrokimia serta Sumber Asli;
Industri Pembuatan dan Proses
Konsep dan Ciri-Ciri Utama
Kerajaan menubuhkan beberapa kolej universiti teknikal yang sepatutnya menawarkan program pengajian yang mempunyai ciri-ciri berikut:
Berdasarkan ilmu yang praktis.
Berteraskan gunaan dan kemahiran ( applied and skilled ).
Menitikberatkan komponen yang mengintegrasikan teori dan amali ( teaching factory ).
Melibatkan pembelajaran secara aktif ( experiential and action learning ).
Menekankan penyelesaian masalah teknikal di peringkat industri ( task oriental and problem solvin g).
Mengamalkan budaya kerja ( work culture ) cemerlang.
UMP ditubuhkan bagi menerajui pembangunan modal insan dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi. Bagi mencapai tujuan ini, empat Produk Teras telah ditetapkan iaitu Pengetahuan Teknikal, Kemahiran Teknikal, Soft Skills dan Kemahiran Keusahawanan. Nisbah teori berbanding kemahiran praktikal yang ditawarkan di universiti ini ialah 60:40. Di universiti ini, pelaksanaan konsep praktis diperkayakan lagi dengan penerapan kaedah kilang pengajaran ( teaching factory ). Ini bermakna - di samping latihan industri - para pelajar didedahkan juga cara menggunakan alat simulasi dan alat bantu mengajar. Konsep praktis ini diperkukuhkan lagi dengan kaedah pengajaran berpusatkan pelajar ( student centered learning ).
Dalam bidang penyelidikan pula, universiti memberi tumpuan kepada penyelidikan gunaan ( applied research ) dan projek-projek industri ( industrial projects ) dengan industri setempat bagi memperkayakan pengajaran dan pembelajaran (P&P). UMP juga mewujudkan pusat-pusat kecemerlangan sendiri bagi memantapkan kajian dalam bidang berkaitan. Sehingga kini, universiti telah meraih beberapa kemenangan dalam pameran penyelidikan yang diadakan di dalam negara dan ke peringkat antarabangsa.
Sehingga kini, UMP menawarkan sebanyak 11 program doktor falsafah, 18 program sarjana, 12 program ijazah sarjana muda, dan lima program diploma. Program-program tersebut ditawarkan oleh lima fakulti berikut:
Program Pengajian dan Fakulti
Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE);
Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (FKKSA);
Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian (FSKKP);
Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM); dan
Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA).
Di samping lima fakulti tersebut, UMP juga mempunyai empat buah pusat kecemerlangan iaitu Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan (PBMSK), Pusat Pengajian Siswazah (PPS), Pusat Pengajian Berterusan & Pengajian Profesional (CENFED), dan Pusat Pengurusan Teknologi (PPT). |